SHAH ALAM - Dewan Pemuda Pas mahu mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berikutan perubahan portfolio 'penting' yang sebelum ini disandang oleh wakil rakyat parti Islam itu.
"Dalam masa yang sama juga, kami ingin mendapat gambaran penyusunan semula portfolio dan skop kerja bagi pimpinan Kerajaan Negeri Selangor selepas ini setelah berlakunya rombakan kecil portfolio yang telah diumumkan oleh Tan Sri Khalid (kelmarin)," kata Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al-Hiss dalam satu kenyataan.
Beliau melahirkan pendirian itu menyentuh rombakan kecil Exco Kerajaan Negeri Selangor ekoran pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Adat Resam, Belia dan Sukan.
Adun Pas itu dilantik bagi menggantikan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang dipecat awal bulan ini.
Sebelum ini, Hasan, yang juga Adun kerusi Gombak Setia, mewakili Pas, diberi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.
Perubahan itu mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian ahli Pas dan juga dikritik pesaing politik parti itu.
Semalam, Ketua Pemuda Pas pusat, Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, sayap itu khuatir sekiranya berlaku perbuatan ‘tikam belakang’ oleh pihak tertentu sama ada dari parti itu mahupun dalam Pakatan Rakyat (PR) ekoran tidak bersetuju dengan pelantikan Dr Ahmad
Dr Ahmad Yunus sebagai Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, kelmarin.
Katanya, pemimpin dan penyokong PR yang tidak berpuas hati perlu menerima seadanya calon itu bagi melicinkan urusan pentadbiran negeri.
“Nasihat saya, jangan pinggir beliau (Ahmad) yang dilantik Menteri Besar selepas mendapat persetujuan semua pihak. Satu lagi, jangan buat perkara tidak baik seperti boikotnya kerana boleh menjejaskan program dirancang nanti untuk kebaikan kerajaan Selangor.


“Saya bimbang sekiranya mimpi ini jadi kenyataan dan timbul protes daripada mereka tidak suka kepada calon yang dilantik. Apa pun, paling penting, kita jangan khianatinya dan biarlah beliau menjalankan tugas serta amanah yang diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataannya di laman sosial berbunyi, 'Kalau hendak berkawan biar tahu membaca ragam. Kalau hendak berkawan biar tahu membuka gelanggang. Pas kawan siang dan malam, tetapi kenapa maruahnya dilagang.'
Khalid, dalam komennya semalam berkata, perubahan portfolio Exco yang dibuat kelmarin adalah selepas mengambil kira beberapa faktor antaranya pilihan raya umum yang semakin hampir serta bagi memastikan pengurusan pentadbiran lancar.
Katanya, beliau mengambil alih portfolio hal ehwal agama kerana adalah tidak adil sekiranya Exco yang baru yang juga merupakan Adun Sijangkang diberikan tanggungjawab tersebut.
Menurutnya, sebagai Exco baru Dr Ahmad Yunus memerlukan masa untuk memahami sistem yang ada.
Dr Ahmad Yunus kini memegang portfolio Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan.
Khalid berkata, tugas Exco Hal Ehwal Agama digalasnya kerana setiausaha Kerajaan Negeri dan penasihat undang-undang terdiri daripada ahli Majlis Agama Islam Selangor (Mais) maka ia memudahkan beliau untuk memantau perkembangan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Beliau berkata, rombakan tersebut perlu dilakukan setelah mengkaji faktor-faktor tersebut.